BERITA SEMASADALAM NEGERI

JIM sambut baik rotasi pegawai demi integriti

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengenai pelaksanaan pertukaran pegawai yang berkhidmat melebihi lima tahun, selaras dengan amanat Ketua Setiausaha Negara pada 20 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM akan terus melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai yang telah berkhidmat lima tahun ke atas berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 dan Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad Bil. 1 Tahun 2021.

“Setakat 31 Disember 2024, JIM telah mencapai kadar pusingan kerja sebanyak 97.94 peratus, melibatkan 3,178 pegawai yang ditukarkan atau menjalani pusingan tempat kerja di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat mengatasi isu salah guna kuasa dan integriti malah memberi peluang pegawai menimba pengalaman baharu.

“Pusingan kerja menjadi fokus utama JIM bagi memastikan pegawai terus cekap melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegaskan, JIM tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran integriti.

“Dari 2022 hingga 2024, seramai 241 pegawai dikenakan tindakan tatatertib manakala 46 pegawai dibuang kerja.

“Jabatan ini komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan warga asing serta sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan,” katanya.

JIM yakin usaha ini dapat memperkukuhkan lagi integriti organisasi sambil memastikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pelanggan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button