BERITA SEMASA

Sijil halal syarat perbaharui lesen niaga: Kor Ming nasihat PBT hormati bidang kuasa Jakim

KUALA LLUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menasihati Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menghormati bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan pemilikan sijil halal.

Kor Ming berkata, Jemaah Menteri sebelum ini membuat ketetapan iaitu kerajaan hanya menggalakkan pengusaha perniagaan berasaskan makanan dan minuman untuk memohon sijil halal tanpa sebarang paksaan.

“Saya tegaskan tidak boleh paksa mendapatkan sijil halal, kita cuma menggalakkan. Saya nasihatkan PBT harus hormati, minta nasihat daripada Jakim,” katanya selepas merasmikan Program Sentuhan KPKT 2024 di Ipoh hari ini.

Nga berkata demikian selepas diminta mengulas langkah kerajaan negeri Kelantan yang mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, beliau menerima banyak aduan susulan pelaksanaan itu khususnya daripada kalangan peniaga bukan Islam yang mahu menjual hidangan tidak halal kepada pelancong.

“Semalam kita memang terima banyak aduan bertanyakan bagaimana mereka yang bukan Islam ini mahu menjual kepada pelancong.

“Bagaimana mahu memohon sijil halal jika memang produk itu sendiri memang tidak halal. Adakah mahu memaksa mereka untuk ‘lingkup’, tutup kedai yang bagi saya ianya suatu kezaliman.

“Katakan, pengusaha bukan Melayu yang mahu menjual daging babi panggang. Macam mana dia nak pohon sijil halal takkanlah nanti PBT keluarkan satu sijil halal, satu tidak halal yang mana keadaan itu sangat tidak sihat,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button