Sarawak bakal jadi hub data pusat pemprosesan AI
KUALA LUMPUR – Sarawak bakal menjadi hub data penting bagi pusat pemprosesan Kecerdasan Buatan (AI) di Kepulauan Borneo dengan menawarkan perkhidmatan pusat data berprestasi tinggi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, syarikat Irix telah siap membina pusat data dengan gred penilaian Tier-IV di Santubong pada 2022 sekali gus membolehkan jaringan sedia ada mencukupi untuk menampung permintaan masa depan.
“Selain itu, Sarawak juga telah dihubungkan dengan dua sistem kabel dasar laut domestik sedia ada iaitu Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang terhubung antara Mersing dan Kuching, Bintulu serta Miri dengan purata kapasiti semasa 9.5Tbps.
“Bagi sistem kabel timur-barat yang menghubungkan Mersing dan Kuching, ia dilaksanakan oleh Sacofa Sdn. Bhd. dengan kapasiti semasa 600Gbps,” jelas Fahmi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Fahmi, pada masa ini terdapat dua sistem kabel internet dasar laut antarabangsa yang menghubungkan negeri Sarawak terus dengan negara-negara lain.
“Ia terdiri daripada Batam Sarawak Internet Cable System (BaSICS) dengan kapasiti sehingga 48Tbps yang telah siap pada 2022.
“Satu lagi ialah SouthEast Asia Hainan-Hong Kong Express Cable System (SEA-H2X) dengan kapasiti sehingga 160Tbps yang sedang dalam pelaksanaan, dijangka siap pada suku ketiga 2025,” ujar beliau.
Kedua-dua sistem kabel dasar laut ini disediakan oleh Irix Sdn Bhd (dahulunya PP Telecommunications Sdn Bhd, PPTel).
Laluan kabel dasar laut ini adalah dalam kategori rangkaian teras yang menghubungkan Sarawak kepada dunia luar seperti Hong Kong, China, Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








