BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

ICW & BuildXpo 2024 catat rekod perdagangan RM654.4 juta

KUALA LUMPUR – Industri pembinaan Malaysia mencatat pencapaian baharu apabila Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran BuildXpo 2024 baru-baru ini merekodkan nilai perdagangan sebanyak RM654.4 juta, meningkat 32 peratus berbanding RM494.3 juta pada 2023.

Acara yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menarik hampir 15,000 profesional, pembuat dasar dan inovator dari pelbagai negara.

Selain menjadi platform mempamerkan teknologi terkini seperti robotik, sistem bangunan pintar dan percetakan 3D, acara ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama dalam inovasi pembinaan serantau.

ICW & BuildXpo 2024 turut menyaksikan beberapa kerjasama strategik yang bertujuan memacu transformasi industri pembinaan negara.

Antara fokus utama adalah program akreditasi bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang digital seperti Permodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Kerjasama lain pula melibatkan usaha meningkatkan kecekapan pembinaan melalui penyelesaian digital serta inisiatif keselamatan bagi mengekalkan standard tinggi dalam industri.

Para pengunjung meneroka inovasi pembinaan terkini termasuk percetakan 3D dan sistem bangunan pintar yang dipamerkan di ICW dan Pameran BuildXpo 2024 baru-baru ini.

Di peringkat global, Malaysia terus memperkukuh reputasinya dengan memeterai pelbagai perjanjian antarabangsa bersama rakan strategik dari pelbagai negara termasuk Australia, China, Korea dan Sepanyol.

Perjanjian itu merangkumi pemindahan teknologi, latihan lanjutan serta kaedah pembinaan terkini yang dijangka memberi impak besar kepada sektor tempatan.

Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) juga mencatat kejayaan dengan nilai perdagangan sebanyak RM152.2 juta melalui sesi pertemuan perniagaan yang diadakan bersama firma tempatan dan pembeli luar negara.

Beberapa perjanjian awal yang dicapai kini sedang dirunding untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Acara ini turut memberi penghargaan kepada kecemerlangan dalam sektor pembinaan melalui pengiktirafan khas kepada projek yang menonjol dari segi keselamatan, kelestarian, dan kualiti.

Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersejarah antara CIDB dan UTHM disaksikan oleh bekas Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria.

Pengerusi CIDB Malaysia, Ir. Yusuf Abd. Wahab menegaskan bahawa pencapaian itu mencerminkan kekuatan sektor pembinaan negara dalam menarik perhatian di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan ICW & BuildXpo 2024 adalah bukti kemampuan Malaysia untuk kekal relevan dan terus maju dalam era inovasi dan kelestarian.

Edisi seterusnya acara ini dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025, dengan misi untuk terus mengangkat industri pembinaan negara ke tahap lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button