PKS mampu tingkat daya saing, produktiviti dengan transformasi automasi
PUCHONG – Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mampu meningkatkan daya saing dalam pasaran domestik dan antarabangsa jika melakukan transformasi perniagaan menerusi automasi, kata Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
Menurut Bee Yin, terdapat beberapa insentif yang disediakan kerajaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk PKS dan perusahaan mikro yang mahu mengautomasikan perniagaan mereka.
“Saya galakkan mana-mana perniagaan yang mahu mengautomasikan perniagaan mereka untuk melihat insentif-insentif yang disediakan oleh kerajaan.
“Apabila kita mengautomasikan perniagaan kita boleh mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti,” katanya ketika ditemui pada pelancaran ibu pejabat baharu kumpulan automasi antarabangsa Kuka Robotics di Puchong semalam.

Pejabat serantau baharu berkeluasan 25,000 kaki persegi itu dikhaskan untuk jualan dan pemasaran, pembaikan, ujian, alat ganti dan latihan.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Jualan Kuka Robotics, Erich Schober dan Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik tidak termasuk China (APeC) Kuka, Alan Fam.
Ditubuhkan pada 1993 melalui rakan kongsi sistem, Kuka Robot Automation (M) Sdn Bhd (Kuka Malaysia) telah diperbadankan pada September 1999 dan kemudiannya sebagai ibu pejabat serantau bagi rantau APeC.
la menawarkan perkhidmatan rakan kongsi integrasi sistem dan pasaran digital selain mengedarkan produk dan perkhidmatannya di Singapura, Malaysia, Vietnam, Thailand, India, Korea Selatan, Jepun dan Australia, dengan perkhidmatan sokongan dalam pembangunan perisian dan perundingan.
Ditanya adakah dengan mengautomasikan perniagaan peluang pekerjaan akan berkurang, Bee Yin berkata, pengurangan pekerja hanya melibatkan mereka yang bergaji tinggi.
“Apabila kita mengautomasikan perniagaan, kita kurangkan kakitangan tetapi mereka yang bergaji tinggi bukan pekerja di peringkat bawahan,” jelasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








