BERITA SEMASA

Insiden kepala air: Jenazah Mohd Afandi selamat dikebumikan di kampung halaman

KUALA LUMPUR – Jenazah anggota tentera, Mohd Afandi Jahwin yang hilang dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah, Banding, Perak telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Menurut Tentera Darat dalam satu kenyataan, jenazah mangsa dibawa keluar dengan pesawat udara pada 2 Disember, jam 12.41 tengahari dan dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.

“Solat jenazah telah dilaksanakan di Surau Sallehuddin Al-Ayubi, 23 RAMD pada 3 Disember, jam 2.15 petang dan seterusnya telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 3.45 petang dengan pesawat C130 TUDM.

“Jenazah telah sampai di Lapangan Terbang Sibu pada 6.25 petang dan seterusnya diterbangkan dengan pesawat EC725 TUDM ke Kampung Jamerong dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada jam 8.45 malam,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 30 November lalu sekitar jam 8 pagi dua mangsa daripada 9 anggota dipercayai telah dibawa arus dalam kejadian kepala air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT.

Seorang lagi mangsa yang hilang iaitu Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan oleh 7 Tim SAR yang terdiri daripada 5 Pegawai dan 112 anggota LLP dari pasukan 2 RRD, 23 RAMD dan 22 komando bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM turut berdukacita di atas kehilangan seorang warganya dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga mereka tabah dengan kehilangan ini. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman.

“PTD juga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar anggota yang masih hilang iaitu Ahmad Zulhilmi akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button