Sektor pertanian rugi RM16 juta akibat banjir di Kelantan
KUALA LUMPUR – Nilai keseluruhan kerugian sektor pertanian di negeri Kelantan berikutan banjir kali ini dianggarkan melebihi RM16 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, angka itu dijangka meningkat selepas bancian lengkap mengenai kemusnahan akibat bencana alam itu diperolehi.
“Dianggarkan 4,872 hektar kawasan pertanian terjejas di Kelantan, melibatkan 2,156 orang pesawah, petani dan pengusaha makanan.
“Selain itu, seramai 661 kakitangan KPKM Inc. Kelantan turut menjadi mangsa banjir kali ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya semalam.
Mohamad Sabu berkata demikian selepas tinjauan beliau di kawasan sawah Jajahan Pasir Mas.
Turut hadir pada lawatan itu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Faizul Mustafa dan Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria.

Katanya, di Pasir Mas sahaja, sebanyak 211 hektar kawasan padi yang sepatutnya dituai dalam masa beberapa hari sahaja lagi musnah ditenggelami banjir.
Sehubungan itu katanya, kerajaan komited untuk mengkaji jenis bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban petani yang terkesan akibat banjir termasuk pemberian bantuan kewangan dan sokongan pemulihan pascabanjir.
Sementara itu, Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau keadaan banjir dengan rapi.
KPKM juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada golongan sasar KPKM yang memerlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













