Berita Semasa

IPT, pelajar diingatkan waspada sepanjang musim Monsun Timur Laut

PUTRAJAYA – Institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar diingatkan agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti luar sepanjang musim Monsun Timur Laut bagi memastikan keselamatan terjamin.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, langkah berjaga-jaga perlu dilaksanakan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur yang sering terdedah kepada risiko banjir dan hujan lebat.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak, khususnya IPT termasuk politeknik dan kolej komuniti, supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda.

“Selain usaha yang dibuat oleh pihak institusi, pelajar juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berhati-hati dan tidak mengambil risiko dengan menjalankan aktiviti luar yang berbahaya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kesedaran itu penting bagi mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini, lebih-lebih lagi dengan cuaca yang tidak menentu.

“Pelajar perlu sentiasa peka dengan ramalan cuaca, elakkan aktiviti seperti perkhemahan atau sukan air jika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan segera laporkan kepada pihak universiti sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya.

Festival Idea Putrajaya yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula esok dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung dengan pelbagai program menarik disediakan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan Monsun Timur Laut bermula awal November sehingga Mac 2025, dengan episod hujan lebat dijangka melanda negeri-negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Pelajar dan pihak IPT disarankan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara.

Show More

Related Articles

Back to top button