Polis buru lelaki cabul anak asuhan isterinya
KULAI – Seorang lelaki diburu polis selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak asuhan kepada isterinya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu tahun lalu.
“Kira-kira jam 6.40 petang, Rabu lalu, kita menerima satu laporan polis mengenai kejadian seorang kanak-kanak tempatan berusia 12 tahun telah dicabul.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa hadir ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat mengalami kemurungan.
“Dalam pertemuan dengan pegawai perubatan ketika itu, mangsa memberitahu dia telah dicabul oleh suspek iaitu suami kepada pengasuh yang menjaganya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Seng Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.