Berita Semasa

Remaja Bangladesh yang ditemui dalam kontena Januari lalu, meninggal dunia

Dilaporkan mati lemas ketika mandi berseorangan di sebuah kolam berhampiran rumahnya

CYBERJAYA – Remaja Bangladesh yang pernah menjadi tajuk berita tempatan kerana ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Januari lalu dilaporkan sudah meninggal dunia.

Laporan Bdnews24.com berkata, Ratul Islam Fahim lemas ketika mandi seorang diri di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj di daerah Cumilla, semalam.

Ratul (kanan) bersama Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bertemu di KLIA sebelum dihantar pulang ke negara asalnya, Februari lalu.

Menurut bapanya, Ratul yang juga anak sulung daripada tiga beradik lelaki mengalami masalah mental dan tidak tahu berenang.

Faruk Mia yang juga seorang buruh harian berkata, Ratul mandi seorang diri kerana semua orang berada di sawah untuk menuai padi.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa Ratul dikebumikan tanpa pemeriksaan bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Kisah remaja berusia 16 tahun itu menarik perhatian media antarabangsa selepas dia ditemui dalam sebuah kontena, setelah terkurung selama enam hari tanpa makanan dan minuman.

Ratul ditemui dalam kontena di sebuah dermaga di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 17 Jan.

Ratul memberitahu pihak berkuasa pada masa itu bahawa dia bermain dalam kontena berkenaan dengan rakan-rakan di Chittagong namun akhirnya mendapati dirinya terkunci di dalam.

Ratul dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang sebelum ditempatkan sementara di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

Kementerian Dalam Negeri kemudian mengatur untuk mendapatkan dokumennya daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum dia dihantar pulang pada 22 Feb.

Show More

Related Articles

Back to top button