LUAR NEGARA

Peluncur ombak maut diserang jerung

SYDNEY – Pengunjung sebuah pantai peranginan di sini gempar apabila seorang peluncur maut akibat diserang seekor jerung besar, hari ini.

Menurut pihak berkuasa, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 57 tahun sedang meluncur ombak bersama lima atau enam rakannya di perairan Pasifik berhampiran pantai Long Reef dan Dee Why, lapor portal The West Australian.

Menurut Superintendan New South Wales, John Duncan, mangsa adalah peluncur berpengalaman yang mempunyai seorang isteri dan anak perempuan.

“Difahamkan mangsa bersama papan luncurnya tenggelam ke bawah permukaan air. Beberapa peluncur yang berada berhampiran menarik mangsa ke pantai.

“Malangnya, ketika itu beliau sudah kehilangan banyak darah dan usaha menyelamatkan nyawanya gagal,” katanya.

Difahamkan, mangsa turut kehilangan beberapa anggota badan dalam serangan itu.

Menurut pihak polis, orang ramai yang berada di kawasan berhampiran turut melaporkan ternampak pemangsa laut itu, yang disyaki seekor jerung besar.

Menurut kenyataan Surf Life Saving, New South Wales, pantai-pantai dari kawasan pinggir bandar utara Manly hingga Narrabeen sudah diarahkan ditutup sekurang-kurangnya selama 24 jam.

Pihak penyelamat menggunakan dron dan jet ski untuk memantau sebarang aktiviti jerung di sepanjang pantai.

Menurut pangkalan data rasmi mengenai interaksi jerung dengan manusia, sejak 1791, terdapat lebih 1,280 kes serangan jerung di seluruh Australia dengan lebih 250 daripadanya mengakibatkan kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button