Kerajaan negeri Selangor serah RM100,000 kepada Taskforce Pemulihan Anak-Anak GISB Selangor
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Taskforce Pemulihan Anak-Anak Global Ikhwan Holding (GISB) Negeri Selangor.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), dalam satu majlis, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah; dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim.
Pasukan taskforce tersebut yang dianggotai wakil jabatan dan persatuan, ditubuhkan bagi merancang pelan pemulihan yang komprehensif dan berkesan terhadap anak-anak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal GISBH.
Sehubungan itu, pasukan ini telah melaksanakan sesi libat urus bagi membangunkan Pelan Pemulihan yang komprehensif bersama para pakar pada 17 hingga 18 Oktober lalu.
Pelan pemulihan yang dibangunkan itu merangkumi empat kluster utama iaitu kebajikan, kesihatan, pendidikan, dan perundangan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Laporan media sebelum ini menyebut, pasukan khas itu ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Oktober lalu.
Pasukan ini akan memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja isu-isu aqidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental serta fizikal kanak-kanak berkenaan.