Kebakaran saluran paip gas : Pemilik kediaman total loss terima RM10,000
SHAH ALAM – Pemilik rumah yang mengalami kemusnahan sepenuhnya atau ‘total loss’ dalam insiden kebakaran akibat letupan saluran paip gas di Putra Heights dekat sini akan menerima bantuan sebanyak RM10,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu akan disalurkan sebanyak RM5,000 oleh Kerajaan Persekutuan manakala separuh lagi oleh Petronas.
Beliau berkata, bagi kediaman yang mengalami separuh musnah, pemilik akan menerima RM5,000 manakala pemilik kediaman yang tidak mengalami kerosakan struktur akan menerima RM2,500.
“Kita mengenal pasti sebanyak 437 rumah yang terjejas dengan pecahan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah dan 57 rumah terbakar tanpa kerosakan struktur,” katanya pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan bantuan RM2,000 untuk kos sewa penginapan selama enam bulan dengan peruntukan RM7.356 juta kepada 617 keluarga.
Katanya, seramai 28 pelajar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diberikan pengangkutan percuma ke sekolah melalui kerjasama Prasarana Sdn Bhd.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Datuk Johary Anuar dilantik mengetuai Fasa Pemulihan bagi membaik pulih rumah, jalan, dan fasiliti awam.
Tegasnya, kerjasama semua pihak penting untuk memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Kata Amirudin, kejadian itu menyebabkan nilai kerugian mencecah RM65.4 juta, manakala RM285.9 juta nilai harta berjaya diselamatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








