Menteri Pertahanan terima kunjungan Duta Besar China
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam menerima kunjungan hormat dari Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Mohamed Khaled dalam kenyataan di Facebooknya berkata, pertemuan dengan wakil negara itu merupakan sebahagian daripada amalan dan pendekatan negara dalam konteks diplomasi pertahanan.
“Pertemuan sebentar tadi telah membincangkan tentang pelbagai perkara, termasuklah berkenaan peluang untuk meningkatkan kerjasama meliputi bidang teknologi dan industri pertahanan.
“Malaysia dan China sememangnya mempunyai pelbagai kerjasama pertahanan, antaranya melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai sejak tahun 2005,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama Malaysia-China akan terus diperkukuh, selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara.
“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia agar “Code of Conduct in the South China Sea” (COC) yang merupakan kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dimuktamadkan semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun hadapan,” ujar beliau.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.