BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO perlu bangkit sebagai Rumah Bangsa, bukan sekadar bergantung nostalgia – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, UMNO perlu terus bergerak ke hadapan sebagai Rumah Bangsa yang mampu menyatukan orang Melayu dan bukan sekadar bergantung kepada nostalgia sejarah perjuangannya selama 80 tahun.

Beliau berkata, usia lapan dekad parti itu bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan perjalanan panjang perjuangan dalam membina kekuatan bangsa, menyatukan orang Melayu serta mempertahankan tanah air merentasi pelbagai generasi.

“Ada kejayaan. Ada cabaran. Ada juga saat getir yang mengajar kita tentang pentingnya kesatuan dan kekuatan sebuah kepusatan politik Melayu.

“Kerana itu, pada usia 80 tahun ini, UMNO tidak boleh hanya hidup dengan nostalgia. UMNO mesti melangkah ke hadapan sebagai Rumah Bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, UMNO merupakan sebuah wadah yang membuka ruang seluas-luasnya kepada seluruh orang Melayu untuk kembali berhimpun, menyumbang idea, tenaga dan kebijaksanaan demi masa depan bangsa.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-80 UMNO kepada seluruh ahli dan pendukung parti berkenaan.

“80 tahun telah berlalu. Semoga segala ikhtiar atas nama agama, bangsa dan negara ini terus dirahmati, perjuangan ini kekal utuh dan menjadi wadah bangsa sampai bila-bila. UMNO. Dulu. Kini. Selamanya,” tulis beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button