POLITIK

MKT UMNO teliti permohonan bekas pemimpin kembali sertai parti

KUALA LUMPUR – UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan memutuskan permohonan serta rayuan bekas pemimpin dan ahli yang berhasrat untuk kembali menyertai parti itu.

Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, Datuk Othman Desa berkata, semua permohonan dan rayuan berkenaan kini sedang diteliti secara menyeluruh oleh jawatankuasa tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan telah mengadakan mesyuarat pertama awal bulan ini bagi menetapkan garis panduan serta syarat penilaian setiap permohonan yang diterima.

“Kita jangka mesyuarat kedua akan diadakan selepas Aidilfitri ini untuk menilai setiap permohonan dan rayuan.

“Permohonan sudah mula diterima termasuk daripada bekas pemimpin dan tokoh tertentu,” memetik BuletinTv3 online.

Beliau berkata, setiap kes akan diteliti secara terperinci kerana ada antaranya melibatkan bidang kuasa Lembaga Disiplin serta MKT.

“Kes tertentu mungkin boleh diputuskan di peringkat jawatankuasa, namun kes yang melibatkan kesalahan berat akan dibawa ke mesyuarat MKT untuk keputusan akhir,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, jawatankuasa turut mengemukakan syor kepada MKT sama ada untuk menerima atau menolak permohonan yang dikemukakan, namun keputusan muktamad tetap terletak di tangan MKT.

Difahamkan, bagi bekas ahli yang meninggalkan parti tanpa dikenakan tindakan disiplin, permohonan mereka berkemungkinan diputuskan di peringkat jawatankuasa.

Sebaliknya, bagi mereka yang pernah dipecat atau digantung keahlian atas kesalahan disiplin, rayuan akan dirujuk kepada MKT untuk pertimbangan lanjut.

Sebelum itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan telah mengemukakan rayuan untuk kembali ke dalam parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button