Lebih 300 penduduk Changkat Jering sarapan bersama MB Perak
CHANGKAT JERING – Program santai ‘Jom Ngopi Bersama Menteri Besar Perak’ yang diadakan pagi tadi di RMCJ Cendol Dusun, Changkat Jering, berjaya menarik lebih 300 penduduk tempatan yang tidak melepaskan peluang untuk bersarapan bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
Saarani dalam ucapan ringkasnya meluahkan kegembiraan dapat beramah mesra dengan masyarakat setempat, sambil memuji keenakan hidangan yang disediakan.

“Saya sangat gembira dapat bersama masyarakat di sini dan makanan yang dihidangkan memang sedap. Baru kali ini saya berpeluang singgah di sini sebelum ini, saya hanya sempat lalu sahaja,” katanya di sini hari ini.
Program tersebut turut dihadiri isteri Menteri Besar, Datin Seri Aezer Zubir serta pimpinan negeri lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Tuan Mohd Nasrul Menhat serta Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohd Nasir Ismail.

Selain bersarapan acara tersebut memberi peluang kepada penduduk untuk mengemukakan pandangan serta isu yang dihadapi kepada Datuk Seri Saarani dan barisan pemimpin negeri.
Menurut beliau, pendekatan itu merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk lebih dekat dengan rakyat dan memahami keperluan komuniti secara terus.

Program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi negeri seperti Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama, Majlis Perbandaran Taiping, Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Jabatan Penerangan Negeri Perak yang menyokong penuh usaha mendekatkan pemimpin dengan rakyat.
Kehadiran beberapa wakil rakyat tempatan termasuk Wong Kah Woh, Teh Kok Lim dan Ong Seng Guan turut memeriahkan suasana.

Sesi ‘Jom Ngopi’ itu dilihat bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, tetapi juga menjadi platform untuk rakyat berkongsi pandangan serta mendengar sendiri aspirasi kerajaan negeri dalam membangunkan Perak yang lebih maju dan harmoni.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















