Berita Semasa

Dunia kewartawanan negara kehilangan sebutir lagi permata

CYBERJAYA – Pemergian wartawan veteran, Allahyarhamah Datuk Rosnah Abd Majid merupakan satu kehilangan buat dunia kewartawanan negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebagai pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984, Allahyarhamah sering menjadi rujukan dalam kalangan pemberita muda.

“Dunia kewartawanan kehilangan sebutir lagi permata setelah pemergian wartawan veteran, Datuk Rosnah hari ini.

“Bagi pihak @komunikasi_gov, takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang-orang beriman,’ kata Fahmi dalam satu ciapan si akaun X (Twitter) miliknya, hari ini.

Allahyarhamah Rosnah,76, sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut kakak Allahyarhamah, Rosnah Abd Majid, adiknya diketahui mempunyai penyakit berkaitan buah pinggang dan pernah membuat pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada 2001.

“Jenazah masih di Pulau Pinang dan akan dikebumikan di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbuk, Kedah adalah lepasan Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi, dan pernah pernah bertugas di Utusan Malaysia sejak 1977 selama 20 tahun, dan merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.

Allahyarhamah juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dan pernah menyandang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah bagi penggal 2000/2003.

Show More

Related Articles

Back to top button