Berita Semasa

SPRM perluas perkhidmatan di Keningau

KENINGAU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembangkan operasinya di Sabah dengan menaik taraf Pusat Informasi SPRM di Keningau kepada Pejabat SPRM Negeri Sabah Cawangan Keningau sebagai langkah memudahkan akses dan meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Perasmian Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau yang terletak di aras bawah Rumah Persekutuan Keningau itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Panglima Azam Baki, hari ini.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Datuk Sri Azam Baki.

Azam berkata, pejabat itu akan memantau aktiviti di daerah Tambunan, Keningau, Sook, Nabawan, Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Beaufort dengan liputan melibatkan keluasan lebih 18,298 kilometer persegi atau 24.9% dari keseluruhan negeri Sabah.

“Pejabat baharu ini dilengkapi tiga lot pejabat dengan kemudahan bilik Ketua Cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan dan bilik gerakan operasi siasatan.

“SPRM juga menghargai sokongan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah atas penambahan dua lot pejabat untuk kemudahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam turut memaklumkan, Penguasa Mohd Iskandar Rizman akan memimpin pejabat itu dan laporan disalurkan terus kepada Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Subbiah.

Orang ramai yang ingin melaporkan kes rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa boleh menghubungi pejabat berkenaan di talian 087-336761 atau faks 087-336763.

Show More

Related Articles

Back to top button