BERITA SEMASA

Bekas KPPA dilantik Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu majlis di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini.

Menurut LPP dalam satu kenyataan, selain itu tiga orang lagi turut dilantik bagi mengganggotai Majlis Penasihat NAFAS dan lima orang Pentadbir.

Dalam pada itu Mohamad berkata, beliau yakin dengan pengalaman luas yang ada pada mantan KPPA dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia itu dalam membantu LPP untuk melakukan reformasi dan tata kelola di NAFAS.

“NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan NAFAS kini adalah di bawah arahan Pentadbir dengan dikawal selia oleh Pendaftar PP,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di Bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) telah membuat satu perintah penggantungan NAFAS berkuatkuasa pada 1 November lalu.

Semasa tempoh penggantungan dikuatkuasakan, NAFAS akan diurus oleh Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar PP manakala Majlis Penasihat NAFAS akan berfungsi untuk menasihati Pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh Pentabdir kepada Pendaftar berhubung masalah harian di NAFAS.

Ia adalah bagi memastikan fungsi NAFAS berjalan dengan cekap tanpa gangguan dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan.

“Adalah menjadi harapan agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button