AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

NAFAS bukan kartel, tidak dapat dana secara langsung

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menafikan menjadi kartel kepada kontrak pembekalan baja Skim Baja Padi Kerajaan Perseketuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

Wakil Ahli Peladang Malaysia, Datuk Kalam Hassan berkata, NAFAS tidak mendapat dana secara langsung dan hanya mendapat kontrak bekalan baja tersebut secara rundingan terus bagi pembekalan dan penghantaran baja kepada petani atau pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara.

“Untuk kerja-kerja pembuatan baja ini, hampir kesemua kecuali jika ada isu kritikal dibuat di kilang baja NAFAS di Gurun, Kedah yang dimiliki sahamnya 80 peratus oleh NAFAS dan 20 peratus oleh Petronas. Secara ironinya, kilang ini adalah milik petani dan pesawah yang merupakan ahli peladang seluruh negara.

“Untuk kontrak sesi terkini, nilai kontrak NAFAS di bawah SBPKP dan SIPP bagi tempoh bermula 15 September 2021 hingga 31 Disember 2024 adalah RM1.8 bilion untuk lima musim.

“Bagi tempoh Julai 2021 hingga 14 September 2021, NAFAS tiada kontrak rasmi pada masa itu tetapi kerja-kerja pembekalan dan penghantaran baja terpaksa dibuat kerana keperluan yang mendesak oleh pesawah yang sudah mula menanam padi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya NAFAS tidak membuat pembekalan, ia akan menyebabkan berlaku isu nasional dan isu protes serta menjejaskan pendapatan dan pengeluaran padi negara.

Justeru katanya, NAFAS terpaksa membuat pengeluaran dan penghantaran baja dengan menggunakan sumber kewangan sendiri berjumlah lebih daripada RM248 juta.

“Sekitar suku keempat tahun 2021 dan suku pertama dan kedua tahun 2022, semasa kerja-kerja pembekalan ini dijalankan, telah berlaku situasi kenaikan harga bahan mentah baja di seluruh dunia antara 100 peratus hingga 400 peratus, hingga menyebabkan harga baja naik mendadak dan terputus bekalan bahan mentah kepada NAFAS dan kilang-kilang swasta yang lain.

“Ekoran daripada keadaan kritikal tersebut, pada Mac dan April 2022, kilang baja NAFAS di Gurun terpaksa shut down lebih 41 hari menyebabkan ketidak cukupan stok baja hampir 30,000 metrik tan (MT) bagi pembekalan suku kedua dan ketiga tahun berkenaan kepada petani dan pesawah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, ekoran itu NAFAS terpaksa membuat pembelian baja secara kecemasan dan pada awal Jun 2022 sahaja, pihaknya telah membuat pembelian baja secara darurat berjumlah sekitar RM57 juta dengan kuantiti sebanyak 16,313 MT dengan kadar sekitar RM3,500 per tan.

Dalam pada itu katanya, kontrak asal baja itu tamat pada 31 Disember lalu tetapi kerana proses variasi harga (VOP) dan luar kontrak tersebut masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak yang berkenaan pada atau sebelum 31 Disember 2023, NAFAS terpaksa menerima lanjutan masa pada 1 Januari sehingga 30 Jun lalu.

Mengulas isu pembelian ayam Shandong, China, katanya, pembelian itu telah mendapat arahan daripada pihak atasan NAFAS atau kementerian sendiri.

“Kami difahamkan pada masa ini NAFAS telah membeli empat kontena mengandungi ayam bulat yang bernilai hampir RM800,000 yang dibawa masuk dari China oleh pengurusan NAFAS Food yang dikatakan mendapat arahan daripada pihak atasan NAFAS atau kementerian.

“Difahamkan juga kes ini ditanggung oleh NAFAS melalui bayaran LC dan kami sangat curiga mengenai proses ini kerana kami mengesyaki tanpa ada permit sah sehingga menyebabkan kontena-kontena ini tersadai di Pelabuhan Klang.

“Akibat daripada proses yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengikut lunas undang-undang yang sepatutnya ini telah menyebabkan NAFAS terpaksa menanggung kos mencecah hampir ratusan ribu ringgit,” katanya.

Kalam berkata, untuk menjaga kepentingan NAFAS dan pemegang saham, pihaknya meminta MAQIS, kastam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat segera perkara itu.

Menyentuh mengenai penggantungan perlembagaan NAFAS, Kalam berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak Lembga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku Pendaftar dalam menguruskan semua aspek NAFAS.

Sementara itu mengulas mengenai persepsi yang kurang tepat kepada AJP NAFAS berkaitan dengan penerimaan gaji dan penyalahgunaan kuasa katanya, katanya, seramai 11 orang AJP yang dipilih dalam mesyuarat agung NAFAS tidak menerima gaji daripada pertubuhan.

Pada masa sama, katanya, AJP terbabit turut melakukan penjimatan dengan memotong 20 peratus semua elaun mesyuarat atau elaun program kepada semua AJP.

“Selain itu, penginapan hotel ditukarkan kepada standard room manakala bagi AJP yang memerlukan penerbangan diturunkan kepada kelas ekonomi. Jika AJP memerlukan kenderaan pejabat, kami utamakan untuk berkongsi kereta dan ini juga terpakai untuk semua pengawai dan kakitangan NAFAS termasuk di anak-anak syarikat NAFAS.

“Dalam tempoh kritikal tersebut, AJP juga telah menangguhkan kenaikan pangkat kepada kakitangan yang terlibat dan kami mementingkan kualiti dan kecemerlangan kerja serta integriti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button