Laporan siasatan kes buli UPNM dibentang Jumaat ini – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR – Laporan kes buli membabitkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dibentangkan Jumaat ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil laporan itu akan dibentangkan oleh Lembaga Siasatan untuk tindakan lanjut.
“Terdapat jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam siasatan ini.
“Mereka akan membuat cadangan berdasarkan garis panduan dan semua perkara berkaitan disiplin,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, di sini.
Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes buli tersebut memandangkan ia melibatkan isu disiplin.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, memaklumkan seramai 16 orang dirakam percakapan membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM.
Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, dalam kejadian jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa telah didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu kemudian didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.
Mangsa selepas itu membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.