Bayi ditinggal dalam peti perlindungan, JKM cari waris Rose Amanda
JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris atau ahli keluarga kepada bayi perempuan diberi nama Rose Amanda yang ditemukan dalam peti perlindungan bayi di sebuah rumah kebajikan, di sini, pada 29 September lalu.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, waris bayi tersebut dicari bagi urusan dokumentasi.
Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai baharu dilahirkan ditinggalkan dalam keadaan tidak berpakaian dengan tali pusatnya dikatakan dipotong sendiri ketika kelahirannya.
“Tiada sebarang nota atau dokumen kelahiran ditinggalkan bersama sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk diberikan.
“Bayi berkenaan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan selepas dibenarkan keluar dari hospital pada 24 Oktober lalu dan tiada tuntutan dibuat mana-mana pihak sepanjang dirawat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bayi berusia kira-kira 40 hari berkenaan dalam keadaan sihat dan JKM sedang mengesan warisnya untuk urusan masa depannya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Nur Ainie Amera Mohd Kia di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 014-8419358.