PRN Sabah: GRS tubuh jawatankuasa rundingan agihan kerusi
KOTA KINABALU – Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menubuhkan jawatankuasa khas bagi merangka pembahagian kerusi bersama parti-parti komponen sebagai langkah proaktif persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dengan
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Presiden Gagasan Rakyat merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perbincangan dengan rakan parti dalam kerajaan negeri yang kini didokong oleh Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Kita sudah setuju menubuhkan jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Masidi Manjun untuk berunding bersama parti komponen dalam GRS, serta parti-parti yang menyokong kerajaan negeri seperti PH Plus,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Hajiji berkata, penubuhan jawatankuasa itu memberi fokus kepada kerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan untuk memastikan kestabilan politik di Sabah.
Bagaimanapun katanya, Gagasan Rakyat turut terbuka untuk berbincang dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat Sabah.
“Pintu sentiasa terbuka untuk perbincangan dengan parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan. Yang penting adalah kebaikan dan kesejahteraan negeri kita, Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, setakat ini tiada tarikh atau jangka waktu tertentu ditetapkan bagi menyelesaikan rundingan agihan kerusi berkenaan.
“Kita pun belum pasti bila pilihan raya akan diadakan, jadi belum ada keperluan untuk menetapkan tarikh muktamad,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut menyatakan bahawa Gagasan Rakyat sedang bersiap untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan pada 8 hingga 10 November ini, yang dijangka dihadiri lebih 6,000 perwakilan.
Setakat ini, Gagasan Rakyat mempunyai keahlian seramai 304,817 dengan 6,977 cawangan di seluruh negeri.
“Persidangan itu akan menjadi platform penting untuk membincangkan usul berkaitan ekonomi, pendidikan dan isu-isu utama lain sebagai persediaan menghadapi PRN17 yang dijangka selewat-lewatnya Oktober tahun depan,” katanya lagi.
Gagasan Rakyat, yang dijenamakan semula daripada sebuah parti sedia ada awal tahun lalu oleh bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah kini merupakan parti terbesar dalam GRS dan bersedia untuk memainkan peranan utama menjelang PRN17.