Jenayah & Mahkamah

Keputusan mahkamah bukan pengesahan Najib bersalah – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak berada di pihak yang benar meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan prima facie terhadap kes 1MDB yang dihadapinya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun begitu pihaknya tetap menghormati dan tiada sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan memanggil untuk membela diri mantan pemimpin nombor satu negara itu.

“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, UMNO dan BN akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.

“Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan, dan mudah-mudahan Najib diberikan keadilan sewajarnya,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati semua 25 tuduhan terhadap Najib melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB, adalah sah dan betul dari segi undang-undang.

Mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri itu untuk membela diri atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa di bawah Akta SPRM 2009 berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Show More

Related Articles

Back to top button