Berita Semasa

Polis buka kertas siasatan perhimpunan kibar Jalur Gemilang

IPOH – Polis membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai kira-kira 300 individu di Dataran Menara Condong Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan terhadap himpunan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut dihadiri pimpinan Pas Perak itu dibuat susulan tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati Pesuruhjaya Pas Negeri yang juga Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan itu.

Jelas beliau, aduan dibuat anggota polis yang bertugas jaga aman di Menara Condong Teluk Intan pada jam 6 petang, semalam.

“Sebanyak kira-kira 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta dengan diringi lagu-lagu patriotik.

“Hasil semakan mendapati, penganjur perhimpunan terbabit tidak menghantar pemakluman kepada pihak polis bagi mengadakan perhimpunan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Arahan perintah untuk menyiasat (OTI) akan dipohon bagi menjalankan siasatan lanjut pihak yang terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lebih 300 individu membanjiri Dataran Menara Condong Teluk Intan, petang semalam bermula jam 5 petang sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Himpunan itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama, kelmarin.

Justeru itu, Azizi memberi amaran dan menasihati orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menggugat ketenteraman awam.

“Mana-mana individu yang didapati bersalah jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 mengikut peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button