Pengarah syarikat, penganjur festival Hooray X Fest didakwa hari ini
KUALA LUMPUR – Lima individu, termasuk pengarah syarikat penganjuran festival raya Hooray X Fest yang dibatalkan saat akhir akan didakwa pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 74 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 4, Jalan Duta, pada jam 11 pagi ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Semalam media melaporkan, pengurus dan pegawai pemasaran Hooray X Fest Raya disambung reman sehari bagi melengkapkan siasatan polis.
Kedua-dua suspek direman sejak 21 April lalu bagi siasatan festival beli-belah Syawal, Hooray X Fest Raya yang dibatalkan saat-saat akhir, Selasa lalu.
Terdahulu, polis menahan tiga individu termasuk pengarah syarikat yang menganjurkan karnival berkenaan.
Karnival yang dijadualkan diadakan di Pusat Dagangan Putra (WTC) dibatalkan pada saat akhir selepas penaja utama menarik diri.