Berita Semasa

Sabah perkenal produk pelancongan luar bandar

KUALA LUMPUR – Sabah menerajui usaha mempromosikan destinasi luar bandar dengan membawa pengendali Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) ke Semenanjung Malaysia buat pertama kali.

Usaha itu direalisasikan melalui sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) antara pengendali CoBT Sabah dengan ejen pelancongan dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif itu adalah yang pertama kali diadakan di peringkat kebangsaan untuk mempromosikan produk pelancongan luar bandar.

“Saya percaya Sabah adalah negeri pertama yang menganjurkan jelajah khusus bagi mempromosi dan memasarkan produk pelancongan luar bandar di peringkat nasional,” katanya pada sidang media di Hotel Moxy Putrajaya, di sini, pada Selasa.

Sesi B2B itu adalah langkah permulaan kepada usaha mempromosikan produk pelancongan luar bandar Sabah di Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (SCBTF) 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober di IOI Mall Putrajaya.

Menurut Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah dan Pengerusi penganjur SCBTF, acara itu akan membuka ruang kerjasama baharu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.

“Kami memanfaatkan trend pelancongan kembali kepada alam semula jadi yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa sesi tersebut melibatkan 27 persatuan pelancongan dari 22 daerah di Sabah, termasuk Ranau, Kota Belud, Papar, Sipitang dan Kinabatangan, yang memperkenalkan pengalaman pelancongan berasaskan budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.

“Kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar komited menyokong komuniti luar bandar dan berharap acara sebegini dapat dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“Kami berhasrat untuk mengadakan acara serupa di peringkat antarabangsa untuk menghubungkan pengendali CoBT Sabah dengan pasaran yang lebih besar,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffrey Jimit berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada komuniti luar bandar dengan menyediakan panduan dan sumber yang diperlukan bagi mempromosikan destinasi mereka.

“Pelancongan adalah platform untuk memperkasa komuniti luar bandar, memacu pertumbuhan sosioekonomi dan menyokong komuniti lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11,” katanya lagi.

Pameran selama lima hari itu turut menampilkan penyertaan lima usahawan koperasi kraftangan dan 34 gerai daripada pelbagai persatuan pelancongan serta produk tempatan dari Sabah.

Julinus turut memaklumkan bahawa pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan tarian budaya, permainan tradisional, demonstrasi kraf, dan persembahan langsung oleh artis tempatan Sabah, Zachkiddin Zachry.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai pengalaman Realiti Maya (VR) yang memaparkan keindahan landskap luar bandar Sabah.

Pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan melalui permainan silang kata, carian perkataan, cabutan bertuah dan sesi Spin-the-Wheel interaktif sepanjang acara berlangsung.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button