Berita Semasa

Rabu diumum Hari Tanpa Gula di Parlimen – Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Program Hari Tanpa Gula akan dilaksanakan di Parlimen setiap Rabu bagi menyemai gaya hidup sihat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan, program tersebut bukan setakat membabitkan kakitangan Parlimen, malah turut meliputi ahli-ahli Parlimen.

“Ini selaras dengan kempen gaya hidup sihat yang perlu kita amalkan bersama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari kemudiannya memaklumkan, bangunan Parlimen merupakan antara 28 kawasan tersenarai sebagai kawasan larangan merokok.

Ini selari dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Februari 2024 berkuat kuasa serentak dengan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia sudah menetapkan merokok dan penggunaan rokok elektronik perlu mematuhi jarak tiga meter dari bangunan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan Parlimen menyediakan tiga lokasi merokok itu iaitu berhadapan kafeteria di blok ahli Parlimen dan pentadbiran, kawasan bersebelahan blok utama bertentangan dengan blok sementara dan berhadapan dewan serbaguna bersebelahan Taman Herba.

Selain itu, katanya, Parlimen juga sudah melaksanakan projek Sistem Fotovolta Suria.

“Tujuan projek pemasangan tenaga suria ini adalah sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia dalam menyokong dasar berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

“Parlimen Malaysia adalah antara Parlimen terawal di dunia yang mengoptimumkan penggunaan tenaga solar dengan kapasiti 1.5 megawatt sebagai inisiatif peralihan kepada sumber tenaga yang lebih lestari,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button