Enam ditahan berhubung kes kanak-kanak 12 tahun diculik
KLANG – Polis menahan enam suspek susulan penemuan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai diculik di kawasan rumah kedai di Bandar Bukit Tinggi di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua daripada enam suspek berusia antara 13 hingga 23 tahun itu adalah wanita.
Katanya, mangsa warga tempatan, yang dikenali sebagai Madrafataha Indal Bangsawan itu ditemui kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Jelas beliau, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa berjalan kaki sebelum menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam.
Menurut Hoong Fong lagi, siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan diculik daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran bermula pukul 5 petang semalam.
“Polis turut merampas kenderaan digunakan suspek yang turut dikenali mangsa dalam kejadian itu, ” kata dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis akan membuat permohonan reman ke atas keenam-enam suspek di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.
Madrafataha sebelum ini dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan di kereta yang diparkir di bawah rumahnya di Bandar Bukit Tinggi dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, Selasa lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















