BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tujuh individu muat naik hantaran hasutan, ugutan terhadap pemimpin negara

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung penularan beberapa hantaran di media sosial yang berunsur hasutan, ugutan, penghinaan, fitnah serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam terhadap pemimpin negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, semua tangkapan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ Bukit Aman susulan tujuh kes video tular di aplikasi TikTok dan Facebook antara 17 September lalu hingga semalam.

Beliau menjelaskan, kes pertama melibatkan seorang lelaki tempatan yang menggunakan akaun TikTok @zollpatv dengan memuat naik komen berbaur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.

“Kes kedua membabitkan akaun TikTok @saya_alif5 yang memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan mengaibkan, manakala kes ketiga melibatkan akaun @japajafaruddinshop dengan kenyataan berkaitan isu subsidi minyak yang menimbulkan kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes keempat pula melibatkan akaun TikTok @HonaKia53 yang turut memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara, sementara kes kelima menggunakan akaun @k_a_m_i_l_2905 dengan kandungan serupa.

“Kes keenam melibatkan akaun TikTok @tokgompo yang menyiarkan hantaran berunsur ugutan terhadap pemimpin negara, manakala kes ketujuh membabitkan akaun Facebook ‘Vincent Naidu’ yang memuat naik kenyataan hasutan serta penghinaan terhadap pihak tertentu,” jelasnya.

Menurut Kumar, semua suspek berbeza itu ditahan bagi membantu siasatan dan mahkamah membenarkan reman antara satu hingga tiga hari.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek berusia 40-an memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah, manakala seorang lagi berusia 60-an pernah disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik kandungan berunsur hasutan, ugutan atau penghinaan.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang terhadap individu yang dikesan melakukan perbuatan sedemikian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika membuat kenyataan atau perkongsian di media sosial bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 504, Seksyen 505(b) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan; serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button