Malaysia, Thailand setuju teruskan dasar sedia ada
VIENTIANE – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk meneruskan dasar-dasar yang telah dirangka sebelum ini bersama Perdana Menteri Thailand terdahulu, Srettha Thavisin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar tersebut merangkumi usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Malaysia dan selatan Thailand.
Selain itu, ujar beliau, ia juga termasuk usaha dalam mempertingkat kesalinghubungan kedua-dua negara, cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) serta bersama-sama melonjakkan pelancongan Malaysia-Thailand.
“Saya dan Perdana Menteri Paetongtarn senada dan bersedia untuk meneruskan kelangsungan persahabatan erat dan dasar-dasar yang telah dirangka sebelum ini bersama Perdana Menteri Thailand terdahulu, Srettha Thavisin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat daripada Thailand, Paetongtarn Shinawatra iaitu pertemuan sulung kedua-dua pemimpin selepas Paetongtarn dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lalu.
Pertemuan itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau turut menzahirkan simpati terhadap rakyat Thailand di utara, timur laut dan wilayah tengah negara itu yang dibadai Taufan Yagi, selain menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu usaha pemulihan Thailand.
“Perdana Menteri Paetongtarn turut sampaikan salam daripada bapanya yang juga sahabat lama, Thaksin Shinawatra dan Srettha.
“Di akhir pertemuan, saya menjemput Paetongtarn untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














