Jenayah & Mahkamah

PU Azman dipenjara 24 tahun, 2 sebatan atas 2 pertuduhan lakukan amang seksual

KLANG – Pendakwah selebriti, PU Azman dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki ketika kejadian berusia 17 tahun, pada dua tahun lalu.

Memetik laporan Sinar Online, Hakim, Noridah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan pembelaan.

Menurutnya, mahkamah juga mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias.

“Tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan berkenaan.

“Susulan itu, bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan bermula jatuh hukum sementara pertuduhan kedua 12 tahun penjara dan satu sebatan selepas selesai menjalani hukuman pertama,” katanya.

Pada 26 Disember 2023, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja itu di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button