Bapa, anak perempuan parah dihempap pokok tumbang
TAIPING – Seorang lelaki bersama anak perempuannya cedera parah setelah motosikal ditunggangi mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kamunting dekat Taman Glen View, Kamunting di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa terlibat merupakan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha.
“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 12.53 tengah hari.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an dan 15 tahun dipercayai bapa dan anak parah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kejadian sama turut mengakibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza mengalami kerosakan.
Katanya, terdapat lima wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun berada dalam kenderaan itu, dua daripada mereka cedera ringan manakala tiga lagi terselamat.
“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Seramai 10 anggota terlibat dalam kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian dan memotong dahan pokok sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya.