Malaysia berada di landasan betul jadi ‘Harimau Asia’ – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan untuk menjadi ‘Harimau Asia’ dengan lima kelebihan unik untuk menarik pelaburan asing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Berucap pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17, Nga menggariskan lima faktor utama yang boleh menarik pelabur asing melabur di negara ini.
Beliau menekankan bahawa kestabilan politik Malaysia adalah penting untuk menarik pelaburan.
Justeru itu, katanya, Kerajaan Madani telah menyediakan panduan yang jelas melalui beberapa pelan tindakan strategik, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR).
Tambah Kor Ming, pelan tindakan ini sudah pun membuahkan hasil, dengan ekonomi negara kembali ke landasan dan pertumbuhan KDNK melebihi jangkaan sejak dua suku lepas.
“Kesannya, institusi kewangan antarabangsa seperti JPMorgan, Goldman Sachs, dan Nomura telah meningkatkan penarafan mereka untuk pasaran Malaysia, menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelabur asing.
“Selain itu, kepelbagaian budaya Malaysia memudahkan integrasi mudah bagi pelabur asing dengan halangan bahasa yang minimum.
“Kehadiran sekolah antarabangsa berkualiti tinggi juga membolehkan pelabur memindahkan keluarga mereka dengan mudah dan membina rumah kedua mereka di sini,” katanya.
Selain itu, Kor Ming berkata, rakyat Malaysia adalah aset terbesar kepada negara dengan keramahan dan layanan mesra mereka kepada orang lain.
Sebagai rekod, katanya, Malaysia telah disenaraikan antara sepuluh negara paling aman di dunia dalam Indeks Keamanan Global 2024.
Namun begitu, Kor Ming menekankan kepentingan melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam kerancakkan kemasukan pelaburan asing.
“Apabila syarikat China melabur di Malaysia, mereka harus menggaji 50 peratus kakitangan tempatan dan membenarkan perniagaan tempatan memegang 50 peratus ekuiti.
“Adalah penting walaupun kita mengalu-alukan pelaburan asing, syarikat tempatan kita dilindungi dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini melalui sinergi strategik,” katanya sambil menambah bahawa syarikat asing tidak seharusnya memindahkan industri yang tidak diingini ke Malaysia.