58 pelajar selamat bilik asrama MRSM Kota Putra terbakar
BESUT – Seramai 58 pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra di sini selamat dalam satu kejadian kebakaran yang memusnahkan sebahagian tingkat satu asrama lelaki.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusiki dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya, dua bilik asrama lelaki MRSM itu musnah akibat kebakaran lewat malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pada mulanya pelajar dan pengurusan MRSM Kota Putra cuba memadamkan kebakaran tersebut tetapi gagal.
“Sebaliknya api kebakaran semakin marak sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa.
Seramai 20 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut dan Jerteh telah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Kosmo Online.
Muhammad Azrul Izzham berkata, sebaik pasukan bomba tiba ke lokasi kejadian, kesemua 58 pelajar lelaki terlibat telah selamat dipastikan keluar dari bangunan asrama berkenaan.
Beliau berkata, api kebakaran berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira sejam 40 minit.
“Kami terpaksa memecahkan siling bangunan bagi memastikan api kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya terutama pada bahagian bumbung,” katanya.