BERITA SEMASA

Sistem MRSM kini antara lima terbaik di Malaysia, lakar sejarah 54 tahun

KUALA LUMPUR – Sistem Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatatkan pencapaian bersejarah apabila secara rasmi diiktiraf dalam kelompok lima terbaik sekolah di seluruh Malaysia bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan itu merupakan mercu tanda paling membanggakan dalam tempoh 54 tahun sejak penubuhan MRSM pada 1972.

Rekod tersebut turut diperkukuhkan dengan kejayaan MRSM Tumpat yang dinobatkan sebagai sekolah terbaik di Malaysia.

“Pencapaian MRSM menduduki tangga lima terbaik di Malaysia adalah bukti transformasi pendidikan MARA berada di landasan yang betul.

“Kita bukan sekadar mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik dengan deretan A+, tetapi modal insan holistik yang mampu menembusi universiti Ivy League,” katanya dalam sidang media tahunan MARA di sini, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, fokus MARA kini beralih kepada persediaan antarabangsa melalui program ‘Elite Bound’ yang mempersiapkan pelajar seawal Tingkatan 1 untuk memasuki universiti elit dunia seperti Oxford, Cambridge, MIT, dan Harvard.

“Universiti terkemuka dunia melihat melangkaui aspek akademik. Oleh itu, kita memastikan pelajar mempunyai daya saing global dan sahsiah yang seimbang melalui pelbagai program pengayaan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai keseimbangan sahsiah, beliau memaklumkan program Ulul Albab terus membuahkan hasil apabila seramai 221 pelajar Huffaz berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM tahun lalu.

Selain kurikulum, kecemerlangan MRSM turut diiktiraf di peringkat global menerusi kejayaan Wind Orchestra MRSM Ulul Albab (Felda) Trolak yang merangkul pingat emas di festival muzik di Prague, baru-baru ini.

Kejayaan itu menurut beliau, mencerminkan peningkatan tahap kompetensi tenaga pengajar dan pengurusan secara berterusan bagi memastikan kemenjadian pelajar yang cemerlang serta berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button