Kebangkitan Global Selatan tidak dapat dielakkan – PM Anwar
NEW DELHI – Kebangkitan naratif Global Selatan pasti berlaku dan ini akan memupuk perpaduan dalam kalangan negara yang pelbagai sambil menerima kepelbagaian dan perbezaan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keinginan yang semakin meningkat akan menarik penyertaan lebih besar ke dalam sistem antarabangsa sekaligus mendorong kuasa serantau ke hadapan dan kuasa baharu muncul mempunyai peluang untuk menyertai agenda Global Selatan.
“Global Selatan mewakili tuntutan suara yang sebelum ini tidak diendahkan, namun kini tidak boleh diabaikan lagi apabila muncul sebagai gagasan diperkasakan, seperti yang saya lihat, ia tidak dapat dielakkan.
“Kini terdapat peluang sebenar untuk terbabit secara proaktif dalam menangani cabaran global dengan syarat yang boleh kita tetapkan melalui perundingan antara satu sama lain, bukannya mengikut telunjuk kuasa besar.
“Kita mencari kebersamaan yang kita berkongsi kepentingan, umpamanya perubahan iklim, ketahanan rantaian bekalan, keselamatan makanan dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Menuju Kebangkitan Global Selatan: Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’, di Sapru House, Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA) di sini malam tadi.
Anwar, yang dalam rangka lawatan rasmi ke India dari 19 hingga 21 Ogos, berkata walaupun terdapat beberapa persepsi negatif, pergerakan Global Selatan tidak bertujuan untuk mengecualikan negara Global Utara.
Sebaliknya, jelas beliau, Global Selatan hanya mahukan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap peningkatan komitmen untuk bekerjasama secara saksama dalam konteks strategik yang kompleks.
Anwar berkata, sebagai pemacu penting kemakmuran global, Global Selatan kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia dan merangkumi 85 peratus daripada penduduk global.
Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar diunjurkan datang dari Selatan Global, dengan India adalah antara negara terbabit.