Berita Semasa

Imigresen laksana 11,903 operasi, 29,030 individu ditahan atas pelbagai kesalahan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah melaksanakan sebanyak 11,903 operasi sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 106,432 premis diperiksa dan seramai 29,030 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi dijalankan sehingga pertengahan Ogos ini, Imigresen juga telah menahan 900 majikan kerana menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan melindungi kumpulan warga asing.

“Fokus utama Imigresen adalah mengenalpasti majikan yang melakukan dua kesalahan tersebut, seterusnya mengambil tindakan tegas,” katanya dalam satu sidang akhbar khas, di sini hari ini.

Ruslin berkata, lambakan PATI di negara ini berpunca daripada majikan yang menggunakan khidmat mereka sebagai pekerja di premis masing-masing.

Tegas beliau, jika pihak majikan tidak berminat menggunakan PATI sebagai pekerja, isu lambakan warga asing dapat diatasi.

“Saya ingin tegaskan kepada pihak majikan di negara ini, jangan sesekali berani menggunakan PATI sebagai pekerja.

“Ia satu kesalahan besar dan tindakan tegas akan dikenakan kerana JIM sama sekali tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button