Speaker Dewan Rakyat belum terima notis perundangan dari PN
IPOH – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan beliau belum menerima sebarang notis tindakan perundangan dari Perikatan Nasional (PN) berhubung tindakannya mengekalkan enam kerusi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Katanya, beliau menghormati keputusan PN untuk mengambil tindakan itu namun mengingatkan bahawa beliau juga mempunyai hak sebagai Speaker yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau melihat kepada Perlembagaan, keputusan Speaker dalam hal-hal yang berhubung dengan Dewan ialah muktamad.
“Namun begitu sebagai rakyat Malaysia sesiapa juga ada ‘avenue’ lain iaitu mahkamah,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Justeru Johari berkata, sebagai rakyat dan ahli politik, sesiapa sahaja layak mengambil tindakan untuk mendapatkan pembelaan di mahkamah.
“Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mereka akan (mengambil tindakan undang-undang), jadi saya tak tahu sampai sekarang. Saya belum dengar lagi (notis tindakan perundangan).
“Hak dia (Muhyiddin) sebagai rakyat negara ini, saya tak mahu sentuh, dia boleh buat. (Namun) setakat ini setahu saya tiada lagi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Lawatan Kerja beliau ke Dewan Negeri Perak di Bilik Sidang Media DUN Perak, di sini, hari ini.
Pada 10 Julai lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilapor akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen dari parti itu yang disifatkannya mengkhianati parti.
Beliau juga menyifatkan keputusan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan Akta Antilompat Parti.
Muhyiddin ketika itu dilapor mendakwa keputusan Johari itu bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, susulan mengekalkan kerusi disandang enam ahli Parlimen Bersatu.
Johari sebelum itu mengekalkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah.
Kerusi itu ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).