17 pengikut Millah Abraham ditahan di Johor
JOHOR BAHRU – Seramai 17 individu dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi khas di empat daerah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, operasi khas dinamakan Ops Milab berjaya menahan 17 individu di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat.
Katanya, Ops Milab dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ops Milab dilaksanakan di empat daerah secara serentak Khamis lalu bagi membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Abraham.
“Ajaran Millah Abraham sudah difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016, sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaahm,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Fared berkata, 17 suspek berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa ini.
Sehubngan itu, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menyebar ajaran tersebut mengikut perundangan negara.
JAINJ sebelum ini mengesan dan menerima laporan penyebaran ajaran sesat yang difatwakan sesat pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Bulan lalu, tiga beranak ditahan di sebuah rumah di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Ajaran Millah Abraham dipercayai menggabungkan tiga agama iaitu iaitu Islam, agama bangsa Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang mentafsirkan ajaran Al-Quran mengikut kefahaman mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








