UMNO gesa program Jom Ziarah Gereja di Klang Sabtu ini dibatalkan
KUALA LUMPUR – UMNO mendesak sebuah program membabitkan penyebaran agama bukan Islam yang akan dianjurkan di sebuah rumah ibadat di Klang pada Sabtu ini dibatalkan.
Ketua Pemudanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, berdasarkan peruntukan Perlembagaan adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan mereka kepada orang Islam.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menghalang program tersebut sekiranya tiada pembatalan dibuat segera.
“Saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur bagi program ini lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat dalam program ini.
“Saya turut mendesak agensi berkaitan agama Islam dalam negeri Selangor mengambil tindakan sewajarnya dengan kuasa yang diberikan dalam undang-undang untuk menghalang program ini diteruskan jika pihak penganjur berdegil dalam perkara ini.
“Jika desakan ini tidak diendahkan,maka kami bukan sahaja tidak teragak-agak untuk turun dan menghalang sendiri program ini dijalankan.
“Malah kami akan mengambil tindakan menyaman pihak penganjur dan pihak agensi berkaitan kerajaan kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
Dalam hantaran itu, beliau turut memuatnaik poster berlatarbelakangkan sebuah gereja di Klang yang menganjurkan program Ziarah ke Gereja.
Dalam poster itu turut membuka pintu kepada belia bukan Kristian untuk turut sama terlibat dalam program berkenaan.