
Perkhidmatan Rahsia AS gagal lindungi Trump
WASHINGTON – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) mengakui gagal menjaga keselamatan Donald Trump hingga mengakibatkan berlakunya insiden tembakan yang mencederakan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, minggu lalu.
Pengarahnya, Kimberly Cheatle, membuat pengakuan itu kepada Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan Kongres, hari ini.
“Kami gagal, sebagai Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS, saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas sebarang kesilapan membabitkan aspek keselamatan.
“Percubaan membunuh bekas Presiden Donald Trump adalah kegagalan operasi paling signifikan di Perkhidmatan Rahsia sejak beberapa dekad ini,” katanya.
Prosiding hari ini adalah pusingan pertama perbicaraan Kongres terhadap insiden cubaan membunuh itu.
Ketika prosiding, Cheatle terus menolak gesaan untuk meletak jawatan daripada beberapa pemimpin tertinggi Republikan, termasuk Johnson dan ketua minoriti Senat, Mitch McConnell selain Comer.
Rabu ini, giliran Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray, pula dijadual hadir di hadapan jawatankuasa kehakiman Dewan.
Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson juga dijangka mengumumkan pasukan petugas dwipartisan bagi proses siasatan oleh Dewan.
Insiden tembakan di perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania pada 13 Julai itu bukan sahaja mencederakan Trump, namun menyebabkan masing-masing seorang orang awam terbunuh dan cedera.
Suspek yang juga pembantu rumah jagaan, Thomas Crooks, 20, kemudiannya berjaya ditembak anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti motif suspek berbuat demikian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








