TV AlHijrah sumbang 100 bakul makanan sempena sambutan ulang ke-14
KUALA LUMPUR – Sebanyak 100 bakul makanan telah diagihkan kepada empat pertubuhan oleh TV AlHijrah sempena meraikan sambutan ulang ke-14 stesen televisyen (TV) berkenaan.
Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, TV AlHijrah kali ini tampil dengan kelainan menerusi program Hijrah Prihatin Kisah bagi mendekatkan penonton dengan stesen TV Islam itu.
“Selalunya kami yang menerima hadiah atau kek sempena tahun ulang tahun, tapi tahun ini kami ingin berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.
“Kami percaya inisiatif seperti ini lebih dekat dengan masyarakat. Kami sudah mengadakan pelbagai program sambutan, jadi kali ini kita cuba lari daripada kebiasaan. Kita perlu berkongsi program yang selalu dibuat tapi tak nampak di televisyen yang mana ia sangat signifikan dengan TV AlHijrah,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Antara yang menerima sumbangan termasuklah Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Cheras (Mualaf), Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Al Mahabbah dan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.
Turut diraikan, Kelab Met Harian Metro juga menerima sumbangan berupa 30 bakul makanan yang merangkumi barangan asas dan keperluan harian kepada beberapa kategori kakitangan yang layak.
Mengulas lanjut, Saifulizan berkata, sepanjang lapan tahun Hijrah Prihatin turun ke lapangan, pihaknya sudah menjelajah ke beberapa lokasi yang kurang mendapat tumpuan seperti pulau dan penempatan terpilih di kawasan pedalaman.
Antara pulau itu seperti Pulau Redang, Pulau Aur, Pulau Pangkor, Pulau Tuba dan empat pulau di Semporna, Sabah.
“Hampir 10 pulau kita sudah pergi. Seperti kita tahu, kos kehidupan di pulau tiga kali ganda lebih tinggi dari tanah besar. Jadi, kita bantu mereka dengan tujuan meringankan bebanan. Kami turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kalau boleh memang nak bagi semua orang merasa. Sebab itu kita cuba sedaya upaya bantu. Ada kes berkala dan ada kita pantau. Bukan nak menunjuk, tapi kita nak memberi galakkan kepada rakan-rakan korporat lain untuk sama-sama menyumbang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








