Kerajaan pergiat usaha basmi kemiskinan tegar, PM beri sumbangan untuk golongan memerlukan
KUALA LUMPUR – Usaha Kerajaan Madani untuk membasmi kemiskinan tegar diteruskan menerusi pengukuhan bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan sumbangan kepada Azizah, 79, yang tergolong dalam kelompok miskin tegar.
Sumbangan itu disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau dalam kunjungan di Kg Tanjung Putus, Permatang Pasir, Pulau Pinang.
“Dengan usianya yang sudah lanjut serta keperluan beliau untuk bergantung kepada kerusi roda, mana mungkin termampu untuk seorang ibu tunggal ini keluar daripada kemiskinan tegar tanpa dibantu sesiapa.
“Maka, perkara ini jelas difahami oleh perdana menteri, bahawa ada keperluan mendesak untuk kita melipatgandakan usaha kita membasmi kemiskinan tegar.
“Bagi membantu Azizah keluar daripada kemiskinan tegar, saya telah menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri bagi mengurangkan beban beliau sekeluarga,” kata Ahmad Farhan dalam satu hantaran yang turut dikongsikan Anwar di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, Ahmad Farhan berkata, pemberian sumbangan itu turut disokong dengan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang bagi memastikan pelaksanaan bantuan susulan sampai dengan kadar yang cepat dan tepat.
“InsyaAllah, dengan bantuan yang tepat, Puan Azizah sekeluarga akan dapat dibantu untuk keluar daripada kelompok kemiskinan tegar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Farhan berkata, perjalanan untuk keluar daripada kemiskinan tegar sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan sokongan yang berterusan, beliau yakin Azizah dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Semoga segala urusan beliau dipermudahkan dan dikurniakan kesejahteraan serta keberkatan oleh Allah SWT,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















