Salahuddin terima kritikan Tun M, mohon beri Kerajaan Perpaduan masa
PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meminta supaya memberikan masa kepada Kerajaan Perpaduan bagi menyelesaikan masalah berkaitan rakyat.
Beliau berkata demikian setelah diminta untuk mengulas kenyataan bekas Pedana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan kepada negara.
Menurut Salahuddin, beliau dengan terbuka bersedia untuk menerima sebarang kritikan, namun Mahathir juga harus memberikan peluang kepada kerajaan, susulan tempoh tiga bulan yang diberikan itu terlalu singkat.
“Saya sangat hormat kepada Tun M saya juga pernah berkhidmat dengan Tun dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
“Saya tidak keberatan untuk menerima apa-apa ke bentuk kritikan tetapi saya rasa pihak Tun M juga mesti memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan ini di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.
“Beri kami masa. Untuk berikan masa tiga bulan bukan satu masa yang adil untuk kata kita tidak buat apa-apa,” jelasnya dalam satu sidang media hari ini.
Tambah Salahuddin, beliau juga mahu mengingatkan Mahathir, bahawa sewaktu PH dibawah pimpinannya, terdapat kesukaran dalam menangkis pelbagai perkara yang telah dibangkitkan pada ketika itu.
“Saya juga ingin mengajak Tun M untuk mengimbas kembali sewaktu tahun 2018 sebelum langkah Sheraton, kita juga menghadapi kesukaran pada waktu itu.
“Antaranya isu-isu agama, perkauman, ICERD dan bukan mudah waktu itu untuk kerajaan PH untuk menghadapi perkara tersebut. Jadi saya minta kita berlaku adil.
“Bagi saya dan Anwar Ibrahim masa yang cukup supaya tidak berlaku lagi rampasan kuasa di tengah jalan seperti langkah Sheraton dan seumpamanya. Beri kami satu penggal atas mandat ini Insya-Allah kami akan bekerja dengan baik bersungguh-sungguh untuk kita tunaikan mandat rakyat,” tegasnya lagi
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama AEON telah melancarkan inisiatif Rahmah Raya bagi pelanggannya untuk terus membantu masyarakat mengharungi kos sara hidup.