Mara Inc kembali catat prestasi positif
KUALA LUMPUR – Kerugian sebanyak RM286.30 juta yang dialami Mara Incorporated Sdn. Bhd. (Mara Inc), anak syarikat Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) sejak tahun 2012 hingga 2022 sebahagiannya adalah melibatkan urusan pembelian aset di luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom antara tahun 2012 hingga 2014.
Menurut Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf, segala tindakan sewajarnya telah diambil termasuk dari segi aspek perundangan serta tindakan susulan oleh Mara dan syarikat bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Kata beliau, Majlis Mara pada September 2015 telah meluluskan pelan rasionalisasi pemulihan Mara Inc dalam memastikan nilai aset meningkat dari tahun ke tahun serta memperkasakan aspek tadbir urus syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul.
“Pelaksanaan pelan ini merangkumi pelunasan hutang-hutang serta rasionalisasi operasi aset MAara Inc di luar negara yang kini telah mula menampakkan hasil yang mana aset-aset tersebut kini telah bebas daripada sebarang hutang dengan pihak luar.
“Namun, pada tahun 2020 dan 2021, pandemik Covid-19 telah melanda dan menjejaskan prestasi aset-aset Mara Inc. Nilai aset-aset tersebut jatuh mendadak dan menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 mendedahkan Mara Inc merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta pada tahun 2022 ekoran pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap.
Selain itu, Mara Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada tahun 2022.
Mengulas lanjut, Azhar menekankan bahawa bermula tahun 2022 dan sehingga Jun tahun ini, prestasi aset-aset ini semakin baik dengan kadar sewaan yang meningkat serta kadar penghunian melebihi 90 peratus.
Jelasnya, aset-aset tersebut telah menjana pulangan yang baik kepada Mara Inc dan telah memberi impak positif kepada nilai aset selepas pandemik.
“Bagi tempoh tiga tahun yang sama, nilai pelaburan hartanah Mara Inc telah meningkat sebanyak hampir 30 peratus daripada RM170 juta kepada RM215 juta manakala prestasi kewangan juga menunjukkan trend positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun 2022, 2023 dan setakat Mei lalu.
“Ini sekali gus mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau 5 peratus dari jumlah kerugian terkumpul pada tahun 2022 dan membolehkan Mara Inc. membuat pembayaran dividen kepada Mara Corp,” ujarnya lagi.
Tegas Azhar, Majlis Mara dan Pengurusan Mara hari ini amat komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran yang melibatkan wang rakyat yang diamanahkan.