LUAR NEGARA

4 terbunuh dalam rusuhan di barat laut Syria

ANKARA – Empat terbunuh dalam ketegangan di barat laut Syria apabila penunjuk perasaan bersenjata bertempur dengan pihak berkuasa Turkiye.

Insiden itu berlaku selepas perhimpunan ratusan penunjuk perasaan bertukar ganas. Tunjuk perasaan dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang tercetus selepas kes seorang warga Syria mengganggu seorang kanak-kanak.

Ratusan penunjuk perasaan telah berdemonstrasi di seluruh wilayah yang dikuasai Turkiye di Syria.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan bahawa pertempuran sengit berlaku di bandar Afrin, yang mana empat orang terkorban dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera Turkiye.

Selain itu, seorang terbunuh di Jarablos dan lebih 20 orang cedera.

Koresponden AFP di bandar Azaz melaporkan puluhan orang menyertai protes, dengan beberapa orang mengibarkan bendera pembangkang Syria dan menembak trak milik warga Turkiye.

Demonstrasi ini merebak ke wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak.

Polis Turkiye telah menahan 67 orang berikutan insiden ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, mengutuk keganasan tersebut, sementara Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, menyatakan bahawa kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah seorang gadis Syria yang mempunyai kaitan dengan pengganggu tersebut.

Yerlikaya juga menegaskan, bahawa tindakan orang Turkiye yang merosakkan rumah dan kedai milik rakyat Syria adalah tidak sah dan tidak sesuai dengan nilai kemanusiaan Turkiye.

Turkiye menempatkan kira-kira 3.2 juta pelarian Syria, sering digegarkan oleh serangan keganasan xenofobik dicetuskan oleh khabar angin yang tersebar di media sosial dan aplikasi pesanan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button