
Bomba laksana penerbangan kecemasan pindahkan pelajar dipatuk ular
Pelajar UPM berkenaan dipatuk ular ketika dalam ekspedisi mendaki Gunung Tahan
LIPIS – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melaksanakan penerbangan kecemasan bagi menyelamatkan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipatuk ular berbisa di laluan ke Gunung Tahan, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Ir TS Dr Wan Mohammad Wan Isa, berkata pasukan JBPM Pahang menerima panggilan peserta kumpulan pendaki itu berkaitan kejadian di Bukit Botak, Gunung Tahan pada pukul 6.15 petang semalam.
Ketika kejadian, mangsa bersama 40 pendaki lain turut disertai oleh dua orang jurupandu, seorang staf Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) serta tiga orang ranger komuniti.
“Sejurus kejadian itu, dua anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) Merapoh yang berada di Kem Kor, Gunung Tahan bergerak ke lokasi kejadian dan permohonan bantuan Unit Udara telah dibuat oleh Pusat Operasi JPBM Pahang.
“Pesawat UUB AW139 bersama lima orang krew telah sampai di Bukit Bius, Lipis untuk mengambil dua orang pegawai perubatan pada pukul 9.26 pagi (tadi) dan terbang ke lokasi kejadian,” katanya.
Pesawat kemudiannya berjaya sampai ke lokasi kejadian di Bukit Botak dan mangsa yang cedera kemudiannya diterbangkan ke Bukit Bius, Lipis pada pukul 9.55 pagi.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Ketika dipindahkan, mangsa berada dalam keadaan lemah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







