Solat jadi kunci kekuatan Umai bertahan 19 hari ketika sesat di Gunung Tahan
KUALA LUMPUR – Ketabahan seorang gadis, Nur Umaisarah Sameaun bertahan hidup selama 19 hari di hutan Gunung Tahan tanpa makanan, namun tetap tidak meninggalkan solat dan terus bergantung harap kepada Allah, kembali menjadi perhatian ramai.
Kisah yang berlaku pada tahun 2008 itu dikongsikan aktivis, Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mendengar siaran podcast daripada gadis tersebut.
Menurut beliau, kisah dialami wanita dikenali sebagai Umai itu merupakan antara kes kehilangan paling lama dalam sejarah negara selepas tragedi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang selama 47 hari.

Mohd Fadli berkata, Umai tersesat selepas turun seorang diri ke satu lokasi pemandangan menarik sambil membawa beg hiking, namun malang menimpanya apabila dia gagal menemui jalan pulang.
“Beg dia pula hilang pada hari pertama selepas terjatuh dalam gaung.
“Bekalan makanan yang ada hanya lima batang coklat Choki-Choki dalam poket seluar,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sepanjang tempoh tersesat, Umai menjadikan bunyi air terjun sebagai panduan mencari sungai dan tidak pernah menjauh daripada sumber air itu bagi memastikan dirinya terus hidup.
Namun ujian lebih besar menantinya apabila pada hari ke-14, dia terjatuh dari puncak air terjun walaupun tidak pandai berenang.
Dalam kejadian itu, cermin mata hilang, kasut tercabut dan tudung terpaksa dilepaskan kerana terbelit dalam pusaran air.

Mohd Fadli berkata, Umai mengakui pada minggu pertama hilang, dia masih berharap akan ditemui pasukan penyelamat, namun memasuki minggu kedua, perasaan putus asa mula menyelubungi dirinya.
“Selepas jatuh air terjun itu, datang bisikan supaya dia bunuh diri sebab terlalu penat dan kecewa.
“Tetapi imannya kuat. Dia segera beristighfar dan cuba terus positif,” katanya.
Menurut beliau, Umai tetap menjaga hubungan dengan Allah sepanjang tersesat di hutan.
Katanya, wanita itu tidak pernah meninggalkan solat, sering melaungkan azan dan membaca Ayat Kursi untuk menenangkan hati.
“Dia juga sentiasa positif. Bila nampak pokok besar, dia fikir banyak malaikat menjaga hutan itu. Jadi dia tidak memikirkan soal makhluk halus atau perkara menakutkan,” katanya.
Pada hari ke-16, Umai melakukan solat Istikharah memohon petunjuk Allah sebelum bermimpi bertemu guru dan rakannya.
Dalam mimpi itu, gurunya menulis nota berbunyi ‘jangan jalan dulu, sebab bantuan akan tiba’.
Keesokan harinya, Umai melaungkan azan berkali-kali kerana yakin bantuan akan datang, namun harapan itu masih belum menjadi kenyataan.
Akhirnya pada hari berikutnya, dia nekad meneruskan perjalanan berkaki ayam walaupun kaki sudah luka dan bengkak akibat berjalan hampir 17 hari.
Takdir Allah memihak kepadanya apabila dia menemui laluan pendaki menuju Gunung Tahan sebelum tiba di Kem Teku.

Namun kem itu kosong dan tiada makanan ditinggalkan. Dia kemudian meneruskan perjalanan sehingga menemui sekumpulan pendaki dan pemandu arah.
“Saya sesat… ada makanan tak?” itulah antara kata pertama Umai sebaik menemui mereka.
Menurut Mohd Fadli, pemandu arah terbabit segera memasak nasi dan memberikan biskut serta air panas kepada Umai sementara menunggu makanan siap.
“Kata Umai, biskut itu makanan paling sedap pernah dia makan sebab 19 hari dia tidak makan apa-apa selain minum air sungai,” katanya.
Pasukan keselamatan kemudian dihubungi sebelum Umai dibawa keluar menggunakan helikopter.
Dalam perkongsian sama, Mohd Fadli turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pendakian seorang diri selain tidak terlalu ghairah membuat keputusan tanpa memikirkan aspek keselamatan.
Beliau berkata, Umai juga pernah menulis sebuah buku bertajuk 19 Hari Sesat di Gunung Tahan yang menceritakan lebih terperinci pengalaman getirnya sepanjang tersesat di hutan belantara itu.

Sementara itu, beliau turut mengajak orang ramai mendoakan keselamatan seorang lagi pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.
“Hari ini masuk hari ketujuh kehilangan Jaslinda. Pasukan penyelamat masih menaruh harapan beliau selamat dan sedang mencari jalan keluar.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar Jaslinda segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















